Selasa, 9 Jun 2009

CITRA WANITA

Membangunkan personaliti ini
bukanlah usaha yang enteng
bertatih dari akar umbi
dan bangkit dari lena yang panjang
menongkah arus perdana
untuk berdiri lebih tinggi dari mu

Membentuk peribadi ini
yang kental persis kersani
bukanlah usaha sia-sia
visi dan misi menjadi paksi
nawaitu menjadi tunjang
dengan restu dan makrifat
dari Mu Tuhan

Sarwajagat akan menjadi saksi
bahawa citra wanita bukanlah pura-pura
utuh berpijak di bumi yang nyata
janji bakal di kota
amanat bakal terlaksana
kerana matlamat dan cara
berjalan seiring

Arbakyah Hassan
UPSI, Perak
9/6/2009

Isnin, 8 Jun 2009

Musim Cuti Sekolah dan Kenduri Kahwin

Kedua-dua peristiwa ini saling berkaitan antara satu sama lain. Asalkan cuti sekolah saja, ramailah yang akan melangsungkan perkahwinan. Betullah...kalau buat kenduri waktu lain, siapa pula yang akan datang memeriahkan majlis. Kadangkala sampai lima enam jemputan kenduri yang perlu dihadiri dalam masa sehari. Kalau kenduri di rumah saudara mara, boleh pula bawa balik nasi dan lauk pauk sebagai bekalan.

Akhir-akhir ini majlis kenduri kahwin dilihat amat berlebihan persiapannya. Memanglah kita akui bahawa masyarakat Melayu kini kaya raya belaka. Gaya hidup mewah yang diamalkan juga sudah mencerminkan bahawa masyarakat Melayu kini tidak segan silu berbelanja berhabis-habisan. Hakikatnya, bertambah kenyanglah tauke-tauke kedai bunga, kedai gubahan hantaran, kedai kek, kedai perhiasan dan lain-lain lagi yang berkaitan. Jangan lupa juga kepada tauke kedai runcit yang menjual telur ayam dan gula-gula. Nasib baiklah kuih tradisional dibuat oleh orang Melayu. Kalau tidak, semua perniagaan yang berkaitan dengan perkahwinan hampir kesemuanya dimonopoli oleh orang lain.

Baru-baru ini saya mendapat jemputan kenduri daripada jiran berhampiran rumah. Seperti biasa, kami anak beranak akan pergi awal bagi mengelakkan kesesakan. Selalunya waktu puncak kenduri ialah sekitar jam 1 tengah hari. Jadi, kami ke sana dalam jam 12 tengah hari. Terkejut juga kerana sudah tidak ada tempat lagi untuk tetamu duduk. Nampaknya, ramai jemputan yang hadir. Tinjau punya tinjau rupa-rupanya hanya satu tenda sahaja yang disediakan untuk para tetamu sedangkan terdapat lebih daripada satu tenda di sana.

Kami meninjau-ninjau kawasan persekitaran untuk mencari tempat duduk. Rupa-rupanya tenda yang sebuah lagi dikhaskan untuk pengantin dan rombongannya. Wah, hebat sungguh persiapannya dengan kerusi meja yang dihias cantik. Sudah pastilah jemputan biasa seperti kami ini tidak berpeluang duduk di situ. Bergerak lagi ke kawasan rumah pengantin. Kami lagi terkejud kerana pelamin yang dibina sahaja sudah memenuhi satu pertiga daripada rumah. Justeru, di mana lagi ada tempat untuk kami melabuhkan punggung?

Akhirnya, ada jiran yang bermurah hati menumpangkan kami makan di rumah mereka. Nasib kamilah kerana tidak duduk makan di bawah pokok pisang!