Setelah hampir satu semester berlalu, kini tibalah musim peperiksaan. Mutakhir ini, kekangan waktu menjadi pemburu yang tidak kenal erti lelah. Dalam kepayahan mengisi ruang dan masa, sudah pasti ada pihak yang menjadi korban. Namun, itulah hakikat yang terpaksa diterima. Pelajar IPGM perlu bersedia untuk menjadi "future teacher" yang berkualiti walaupun tanpa pensyarah di sisi. Konsep berdikari perlu diamalkan sentiasa kerana ' pelajar rajin mencari jalan, pelajar malas mencari alasan'.
Memang diakui bahawa bekalan ilmu yang ditimba pelajar tidak sebagaimana yang dirancang. Para pensyarah sendiri perlu komited terhadap tugas-tugas lain yang menjadi tanggungjawab mereka. Menyelia praktikum, menghadiri kursus/bengkel/mesyuarat, Program KIA2M, Teaching School, Pengajaran Bestari, BIG, PPL dan bermacam-macam aktiviti lagi merupakan kerja-kerja tambahan yang tidak dapat dielakkan. Walau sebaik manapun pengurusan masa dibuat, namun kepincangannya tetap ada.
Halangan di pihak pelajar juga tidak kurang banyaknya. Pelajar-pelajar KPLI sendiri tidak pernah betah berlama-lama di institut. Ada saja program yang perlu mereka hadiri. Natijahnya, sukatan pelajaran hanya digarap separuh jalan. Pensyarah mungkin sempat memberikan tajuk-tajuk tugasan yang perlu diselesaikan sedangkan kandungan pelajaran perlu ditelaah semasa lapang. Bilakah akan hadir kelapangan itu? Sedar-sedar sudah perlu menjalani praktikum.....
Apapun yang perlu dilalui, terpaksalah kita hadapi. Semangat yang kental dan jitu perlu menjadi bekalan. Usaha berterusan perlulah menjadi landasan dalam perjuangan. Di tangan kitalah letaknya segulung kejayaan. Jangan lupa memohon restuNya setiap kali kita sujud dengan penuh tawadduk. Amin.....