Isnin, 6 Disember 2010

Sembahyang Subuh: Pertemuan dengan Cahaya


Tanyalah diri anda, kenapa anda tidak bersembahyang subuh?
Adakah kerana kelemahan keimanan, atau kerana malas?
Adakah kerana tidak mengetahui ketinggian kedudukan sembahyang subuh?
Adakah kerana anda tidak menghormati Allah, tuhan sekalian alam?
Atau apakah sebabnya?

Ketahuilah kedudukan dan nilai diri anda melalui sembahyang subuh ini.

Faedah-faedah Sembahyang Subuh

Sembahyang subuh mempunyai banyak faedah, antaranya:

1. Anda akan sentiasa berada di dalam perlindungan dan jagaan Allah swt.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang bersembahyang subuh secara berjamaah, maka dia berada di dalam jagaan Allah.” (Hadis sahih)

2. Ia menyelamatkan anda daripada neraka.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak akan masuk neraka sesiapa yang bersembahyang sebelum terbit matahari dan sebelum ia tenggelam.” (Hadis sahih)

3. Sembahyang anda disaksikan oleh para malaikat.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Malaikat malam dan siang akan berkumpul pada waktu sembahyang subuh.”

4. Dijanjikan syurga.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang bersembahyang subuh dan asar akan masuk syurga.” (Hadis sahih)

Bagaimana Anda Boleh Bersembahyang Subuh

Peliharalah perkara-perkara berikut, insya Allah anda akan bangun untuk menunaikan sembahyang subuh:

1. Jangan melewatkan makan malam sehingga hampir waktu tidur dan janganlah anda memenuhkan perut anda dengan makanan.

2. Kuatkan azam dan tekad serta ikhlaskan niat dan berdoalah agar Allah membangkitkan anda untuk sembahyang subuh.

3. Adakan suatu cara yang boleh menyebabkan anda bangun, seperti meminta sahabat anda membuat panggilan telefon kepada anda pada waktu subuh, mengunci jam penggera atau meminta seseorang mengetuk pintu rumah anda sebelum dia ke masjid untuk sembahyang subuh.

4. Tidurlah dalam keadaan berwuduk di atas badan sebelah kanan. Jangan lupa membaca zikir sebelum tidur.

5. Sedapat mungkin jangan tidur bersendirian di dalam sebuah rumah.

6. Dari masa ke semasa, ulangi pembacaan anda tentang faedah-faedah sembahyang subuh dan hukuman orang yang meninggalkannya.

7. Berkawanlah dengan kawan-kawan yang baik terutamanya ‘kawan-kawan untuk sembahyang subuh’. Anda hendaklah sama-sama memastikan bahawa kesemuanya telah bersembahyang subuh pada setiap hari.

Halangan-halangan Sembahyang Subuh

Jika anda terdiri daripada orang-orang yang tidak mengerjakan sembahyang subuh apatah lagi di masjid, dan anda sedang mencari-cari jalan keselamatan, maka kami akan tunjukkan kepada anda pemusnah paling besar yang menghalang anda daripada menunaikan sembahyang subuh.

1. Maksiat:

Ia adalah halangan paling besar dan paling memusnahkan. Kerana Allah swt hanya memilih di kalangan para hambaNya yang sentiasa memelihara sembahyang subuhnya. Bagaimana mungkin Allah memilih orang yang berbuat maksiat terhadapNya sepanjang siang.

Abu Sulaiman al-Darani berkata: “Tidak terlepas seseorang daripada sesuatu sembahyang jamaah melainkan kerana satu dosa yang telah dilakukannya.”

2. Kawan yang tidak baik:

Kawan yang tidak baik merupakan perosak paling besar pada hari ini. Maka sesiapa yang mengetahui suatu kebaikan dilakukan oleh kawannya, dia hendaklah berpegang dengannya. Dan sesiapa yang mengetahui suatu keburukan pada kawannya, maka dia hendaklah meninggalkannya sebelum terlambat.

Firman Allah swt (surah al-Furqan ayat 27-28) yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!”

3. Berjaga malam dan tidur lewat:

Sesiapa yang tidur awal, dia akan bangun awal. Inilah hakikat yang sama-sama kita ketahui. Rasulullah saw tidak suka berjaga malam selepas waktu isyak kecuali kerana keperluan penting seperti bermuzakarah tentang ilmu atau bersenda gurau dengan isteri atau berbincang tentang urusan umat Islam.

http://berita-harian-online.com/forum/showthread.php?t=636