Selasa, 28 Januari 2014

Selamat Datang Tahun 2014

Setelah 1 tahun melupai kerja-kerja blogger tiba-tiba hari ini terpanggil untuk menjengah ke laman sesawang ini. Pengaruh laman sosial seperti Facebook, Wechat dan WhatsApp telah menenggelamkan kegilaan terhadap blog. Kebetulan ada latihan perkembangan staf di institut berkaitan dengan webnode. Peluang ini digunakan untuk menjengah kembali laman sesawang yang suatu ketika dahulu meriah dengan informasi.
Mungkin boleh ditambah sebagai azam tahun baharu dengan mengaktifkan kembali laman ini. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya, mahu seribu upaya. Tahun ini azam memang bersusun berbanding tahun-tahun lepas. Mana tidaknya, apabila usia makin meningkat banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Faktor kesihatan yang kian merosot, masalah kewangan yang tidak terurus, amalan dan kebajikan yang nampak berkurang merupakan cetusan kepada azam tahun baharu.

Ahad, 13 Mei 2012

Konsep Puisi


  Menurut William Wordsworth (1988:4) puisi merupakan suatu pengucapan tentang perasaan ghairah yang imiginatif, biasanya berentak dan berlaku secara spontan, dalam suasana tenang.
  Samuer Taylor Coledridge (1988:4) mendefinisikan puisi sebagai ,”the best words in the best order
  Muhammad Hj Salleh (1988:10) mentakrifkan puisi sebagai…bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya.

Ciri-ciri Puisi
q  Penggunaan bahasa yang baik, ekspresif, kental, ada nilai keindahan serta menimbulkan  kesan kepada pengalaman dan perasaan.
q  Mempunyai bentuk yang tertentu, berkerat-kerat / berurutan dalam baris yang sejajar sama ada berpola atau bebas
q  Ungkapan kata dipengaruhi unsur muzik, lagu, intonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.
q  Baris, rima, dan irama disusun mengikut pola atau tanpa pola
q  Dalam puisi tradisional wujud pembahagian unit dalam menyatakan idea.
q  Digunakan dalam kehidupan masyarakat untuk hiburan, keramaian,ritual,keagamaan,pengajaran dan sebagainya.
q  Ada yang diangap suci dan berhubung rapat dengan sistem kepercayaan dan menjadi taboo bagi masyarakat tertentu.
q  Bahasa mengandungi unsur imajan, perlambangan, kiasan dan perbandingan

Aspek-aspek Dasar Puisi

Medan Makna
  •         Maksud (isi):Gambaran idea
  • .       Tema : Inti atau isi pokok
  • .       Persoalan : Isi-isi kecil / sampingan
  • .       Perutusan/mesej/amanat: gagasan nilai
  • .       Sikap dan perasaan : Penggunaan diksi
  • .       Unsur/nilai murni: Nilai dan norma kehidupan
  • .       Sejarah genre : Memahami latar belakang perkembangan puisi
  • .       Biodata penyair : Pengetahuan tentang penyair 
  • .       Penghasilan karya : Menghasilkan puisi secara terancang dan terbimbing mengikut prinsp penulisan kreatif
  •  

Medan Kata
}  Diksi : Pemilihan kata khusus/khas secara puitis
}  Imej/citra alam: Gambaran atau tiruan bentuk atau objek alam
}  Kiasan: Kata atau ungkapan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu dengan cara bersandarkan
}  Rima : Persamaan gugus kata dari segi konsonan dan vokal
}  Aliterasi : Pengulangan bunyi konsonan
}  Asonansi : Pengulangan bunyi vokal
 Jeda : Titik perhentian seketika, peralihan nafas sewaktu melafazkan puisi.
}  Simile: Tamsil atau kiasan yang membandingkan dua objek yang mempunyai nilai dan sifat yang sama secara langsung
}  Metafora: Kiasan atau analogi yang melambangkan sesuatu bagi sesuatu yang lain bagi menyarankan antara keduanya terdapat persamaan
}  Personifikasi : Kiasan yang memberikan sifat manusia.
}  Hiperbola: Kiasan dalam bentuk ungkapan yang menggambarkan sesuatu secara berlebih-lebihan
}   Rentak : Tingkahan tinggi-rendah, panjang-pendek, cepat-lambat

Medan Rasa
}  Bentuk : Susunan luaran puisi yang merangkumi jumlah kata, suku kata, baris, bait, skema, dan pembahagian unit.
}  Struktur/binaan: Susunan dalaman puisi seperti perkaitan antara pembayang dan maksud pantun.
}  Timbangan : Adalah ciri dan sifat yang menentukan keharmonian pengucapan kata.
}  Ciri dan sifat : Aspek-aspek khusus yang menjelaskan puisi-puisi  berlainan.
}  Perbandingan bentuk: Membandingkan perbezaan dan persamaan antara puisi berlainan dari aspek bentuk, bahasa, isi dan lain-lain
Pencinta Puisi Sentiasa Punya Hati dan Rasa


Isnin, 30 April 2012

CONTOH MINIT CURAI ( TAK SUSAH KAN?)


Kepada

:
Ketua Jabatan
Jabatan Pengajian Melayu



Melalui
:
Penyelaras MBM




Daripada
:
Pn Arbakyah bt Hassan
Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu



Salinan kepada
:
Penyelaras  LPS



Perkara
:

Mesyuarat Penyelarasan Program Bahasa Malaysia di Bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris 2012




Tarikh/Hari -  
22 – 24 Februari 2012 ( Rabu –Jumaat)


Masa         -         
2.30 ptg – 12.00 tgh


Tempat      -       
Selesa Beach Resort, Port Dickson

1.       LATAR BELAKANG

1.1         Mesyuarat ini dipanggil oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG)

1.2         Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En Razlee b Mohamad   Pegawai BPG dengan kehadiran wakil IPGM, Pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, wakil bagi setiap JPN dan penyelaras MBM bagi setiap IPG.

1.3         Tujuan utama mesyuarat ini diadakan adalah untuk:

1.3.1        Menjelaskan kepada stake holder mengenai program di bawah dasar  MBMMBI.
1.3.2        Menyelaraskan jadual dan tajuk-tajuk kursus antara BPG< IPG dan 
JPN.
1.3.3        Memastikan kelancaran kursus Peningkatan Profesionalisme guru
akan memberikan impak kepada pembelajaran murid.
1.3.4        Mendapatkan penjelasan tentang sumber dan jumlah kewangan bagi
1.3.5        pelaksanaan program.
Mewujudkan team pelaksana program MBM yang utuh dan
berwibawa


2.           ISU ATAU MAKLUMAT PENTING

2.1   KKPI akan diteruskan seperti biasa. Peruntukan turun ke IPG seperti tahun-tahun lepas.
2.2  KDP 4 minggu juga akan diteruskan dengan sedikit pembaharuan dari aspek tajuk
2.3  KDP 4 minggu masih lagi mensasarkan 1000 orang ambilan bagi tahun 2012.
2.4  Kursus E- Kamus bagi KKPI akan digantikan dengan Pemantapan tatabahasa Sek Menengah.
2.5  Kursus lain akan diteruskan seperti biasa.
2.6  Agihan fasilitator antara IPG dan JPN boleh ubahsuai mengikut kepakaran dan keperluan kursus.
2.7  IPG sebagai tuan rumah hendaklah peka terhadap urusan pengambilan dan kebajikan fasilitator.
2.8   Bagi KDP 4 Minggu hanya 14 IPG sahaja yang terlibat.
2.9  Kursus pemantapan akan dimulakan pada 27hb Feb 2012 ( zon utara di Alor Setar)
2.10          IPG yang terlibat ialah IPGKSAH.
2.11          IPG lain akan dipanggil membantu bagi memenuhi keperluan tenaga  
      pengajar / fasilitator.


3.       MAKLUMAN/TINDAKAN

3.1     Taklimat dan mesyuarat pelerasan JPM dan IPG akan dilaksanakan secepat mungkin.
3.2.1        Taklimat fasilitator juga melibatkan kebajikan dan tuntutan ( jika ada)

.   

4.       ULASAN/CATATAN

TAKLIMAT KEWANGAN BPG


1.      Penurunan warrant ke IPG/JPM telah dilakukan.
2.      Agihan peruntukan 2012 telah dibentang dalam mesyuarat LDP dan dihadiri oleh KJ dan LDP IPG dan JPN.
3.      Warant peruntukan MBMMBI di bawah OS2100 menggabungkan MBMMBI . Perlu diagihkan mengikut kebijaksanaan masing-masing.
4.      Kali ini tidak dipecahkan mengikut kepala sebagaimana tahun-tahun lepas.
5.      JPN Pulau Pinang memperoleh RM1000 dan IPGKPP juga RM10000.
6.      IPG menggunakan untuk pergerakan pensyarah manakala JPN menampung keperluan peserta dan pegawai.
7.      Tidak ada peruntukan untuk kegunaan pensyarah termasuklah elaun makan.
8.      Bagi OS27000 semua IPG menerima RM12375 ( 275 x RM10). Bagi OS29000IPG menerima RM4125
9.      Warant turun kepada IPGM. Buka LO dahulu kemudian akan dtambah.
10.  Perbelanjaan tambahan boleh dibuat selepas ada duit baki. Boleh buat TOT dan minta peruntukan tambahan menerusi IPGM


3.2.2   ULASAN KETUA JABATAN






WASILAH PERJUANGAN


Khabarkan kepada sarwajagat
sejarah ini ada lestarinya
akan sentiasa mengukir realiti
mapan bertahan dengan tradisi
bukan berselubung dengan selimut perpecahan
jauh sekali mara ke belakang

Di takah manapun kita dihumban
tak akan terpana dengan semilir hitam
yang membelenggu keagungan bangsaku
empayar ini bukan taruhan Si Durjana
kosmo ini ada ketuanannya
tiada kompromi buat petualang

Berdiri teguhlah di belakangku
bukakan mindamu caknakan generasimu
berperilah dengan tatacara dan ketrampilan
bertindaklah atas kemahuan dan kesedaran
nasi belum menjadi bubur
andai nak watan sukmanya berwasilah

                                                                                                                               Nukilan,
                                                                                                                               Arbakyah binti Hassan
                                                                                                                               IPG Kampus P.Pinang
                                                                                                                                27 Jan 2012
                                                                                                                                 Buletin Rasmi Peradaban

Sabtu, 31 Disember 2011

Selamat Tinggal 2011...Selamat Datang 2012




Alhamdulillah....dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana sentiasa berada dalam rahmat dan rahimNya sepanjang 2011. Banyak peristiwa berlaku sepanjang tahun 2011 yang boleh dijadikan kenangan manis sepanjang hayat. Syukur juga kerana sentiasa sihat dan bersemangat ketika melaksanakan tugas yang diberikan hingga sukses dan mencapai matlamat. Moga-moga tahun-tahun mendatang juga tidak banyak diuji dengan halangan dan masalah...insyaallah.

Antara kenangan manis sepanjang 2011 ialah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang buat kali kedua sepanjang bertugas sebagai pendidik. Syukur kehadrat Ilahi atas rezeki yang dikurniakan. Terima kasih banyak2 kepada Ketua Jabatan Tn Hj Yussof Said atas kepercayaan yang diberikan. Insyaallah saya akan lipatgandakan usaha agar terus menjadi pendidik yang cemerlang. Kenangan manis seterusnya ialah ditauliahkan sebagai Mejar (KRS) dalam satu majlis penuh istiadat. Sampai juga hajat di hati setelah beberapa lama menyumbang khidmat bakti dalam unit uniform tersebut. KRS dan saya memang sukar dipisahkan. Saya berasa puas dapat memberikan sumbangan walaupun kadang-kadang terasa perit.

Tahun 2011 berakhir dengan satu lagi episod manis iaitu dinaikkan pangkat ke DG48 walaupun tidak menjangka sama sekali. Syukur sangat-sangat kerana dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan guru yang fresh graduate. Biarlah kenangan manis ini terus kekal dalam lipatan sejarah seorang pendidik yang bernama Arbakyah Hassan. Kejayaan peribadi ini juga akan dijadikan sandaran untuk berusaha dengan lebih gigih dan tidak lupa kepada nikmat yang Allah berikan. Moga Allah sentiasa tetapkan iman dan kuatkan semangat untuk menjadi mukmin yang sejati....insyaallah.

Hikmah Al Fatihah




Assalamualaikum warahmatullah,

Kita ulang al-Fatihah sebanyak 17 kali dalam solat wajib lima kali sehari. Al-Fatihah sebaik-baik doa, tetapi kita jarang-jarang ambil tahu akan makna yang tersirat dan tersurat disebalik ayat Ummul Kitab ini.

Tahukah kita bahawa al-Fatihah adalah ‘penyembuh’ hati, pedoman bagi segala kecerdasan bagi hati dan fikiran, bekalan untuk mencapai cita-cita dan harapan serta ungkapan rasa syukur atas segala hasil dan pencapaian.

  1. Bismillahirrahmannirrahim (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang)
  2. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam.
  3. Yang maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
  4. Yang memiliki hari pembalasan.
  5. Hanya Engkau yang kami sembah dan mohon perlindungan.
  6. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
  7. Jalan yang Engkau berikan nikmat, bukan jalan yang dimurkai, bukan pula jalan yang sesat.
  8. Amin (Kabulkanlah).

Al-Fatihah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam al-Fatihah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan 'mim' dan ada ayat yang akhirnya dengan 'nun'. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.

Sebenarnya dalam jumlah ayat al-Fatihah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan. Antaranya ialah:

1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu

Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati al-Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat al-Fatihah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau al-Fatihah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.

2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan

Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; ke semua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah 'sesuatu' tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:

  • Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.
  • Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
  • Kedua-dua lutut
  • Kedua-dua tapak kaki

Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, "Hidupku dan matiku adalah untuk Allah." Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.

3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga

Al-Fatihah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati al-Fatihah. Kalau al-Fatihah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat Neraka.

4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi

Di langit ada macam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.

Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.

Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu.

Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan.

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.

Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam al-Quran:
Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan al-Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, 'Diamlah kamu (untuk mendengarkannya).' Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan." (Surah Al Ahqaf ayat 29)

Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.

5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.

Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat al-Fatihah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:

  1. Nafsu ammarah
  2. Nafsu lawwamah
  3. Nafsu mulhamah
  4. Nafsu mutmainnah
  5. Nafsu radhiah
  6. Nafsu mardhiah
  7. Nafsu kamilah


Isi al-Quran itu terkandung dalam al-Fatihah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat al-Fatihah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau al-Fatihah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, al-Fatihah atau isi al-Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.
Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada al-Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai al-Quran sepenuhnya dan mempraktikkan al-Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada al-Quran.

Ayat al-Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ke tujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ke tujuh itu.

Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah al-Fatihah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat al-Fatihah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan al-Fatihah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.

Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan al-Fatihah ini yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh tahap nafsu itu.

Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran al-Fatihah padahal baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu al-Fatihah, belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya lebih suka mengatakan al-Fatihah itu 'Surah Yang Dapat Kemenangan' daripada menamakan ia 'Surah Pembukaan'.

Kalau ulama masyhurkan al-Fatihah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia diletak di depan al-Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi'il - 'yang telah mendapat kemenangan'. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah al-Fatihah itu menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita.

Renung-renungkan dan selamat beramal!


Description: http://signatures.mylivesignature.com/54487/397/24C6918A507B91191BA2A1C8911556C5.png

MUSTAFFA BIN IBRAHIM AMP;PMP;PJB
UNIT KOKURIKULUM
JABATAN PELAJARAN PERLIS
01990 KANGAR, PERLIS