Jumaat, 16 Julai 2010

Semantik

Kata “semantik” ini, sebenarnya berasal daripada kata adjektif bahasa Yunani semantickos yang membawa makna ‘penting’ atau ‘bererti’. Semantik pula, secara ringkas, dapat dijelaskan sebagai suatu bidang ilmu yang mengkaji makna perkataan dan ayat dalam bahasa. Semantik dalam bahasa, pada umumnya, dapat diteliti dari pelbagai sudut. Demikian juga semantik dalam Bahasa Melayu dapat diteliti dari aspek-aspek seerti dan rujukan, perkataan, ayat, jenis-jenis makna, perubahan makna, peribahasa (termasuk simpulan bahasa), dan unsur semantik dalam nahu.


Dalam kajian linguistik, bidang semantik dianggap sebagai bidang yang paling sukar untuk diterokai. Hal ini kerana, untuk mengkaji makna, sama ada pada peringkat perkataan atau ayat, pengkaji seharusnya mempertimbangkan sama aspek-aspek yang bukan linguistik seperti kebudayaan, konteks di mana perkataan atau ayat itu diujarkan atau digunakan, aspek psikologi penutur dan pendengar, tajuk perbincangan dan sebagainya. Oleh yang demikian, untuk memberikan makna yang paling tepat bagi sesuatu perkataan, perkara-perkara di atas mestilah diambil perhatian.


Definisi Makna

-Makna ialah erti atau maksud. Makna juga diertikan sebagai idea atau konsep yang boleh dipindahkan daripada pemikiran penutur kepada pemikiran pendengarnya yang akan menghasilkan satu bahasa atau bahasa lain. Makna dalam linguistik merupakan keadaan apabila penutur mengujar dan gerak balas yang dijangkakan pada pendengar seolah-olah terhubung erat.


KEADAAN PENUTUR ===> PERTUTURAN ====> GERAK BALAS PENDENGAR


Keperihalan keadaan penggunaan merupakan faktor penting dalam menentukan makna sesuatu perkataan, frasa, klausa, atau ayat. Dengan kata lain, makna sesuatu ayat atau ujaran tidak semata-mata ditentukan oleh makna setiap perkataan atau pertalian strukturan antara perkara-perkara yang membina sesebuah ayat tetapi faktor-faktor lain seperti intonasi, pengucapan, keadaan penutur, tujuan sesuatu ayat yang diujarkan juga penting.


Rujukan :

Ab Rahman Ab Rashid. 1998. Pengajian Melayu 1. Petaling Jaya : Longman Sdn. Bhd.

Raminah Hj Sabran. 1986. Kajian Bahasa. Petaling Jaya : PenerbitFajar Bakti Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan