Sabtu, 2 Oktober 2010

AKTIVITI BERCERITA



PENGENALAN

Kamus Dewan:- mengisahkan sesuatu cerita, bercakap atau berbual.

Kamarudin Husin (1999): salah satu aktiviti lisan yang penting dan memerlukan beberapa kebolehan tertentu.

Guru perlu memilih & menggunakan perkataan yang sesuai, berkebolehan melahirkan gaya, suara, mimik muka dan intonasi yang boleh memikat perhatian pendengar. Guru juga harus membina ayat yang betul, penggunaannya tepat, mudah dan menarik. Pendek kata, semua unsur yang terdapat dalam bahasa lisan terutama dalam percakapan yang natural, perlu diwujudkan semasa bercerita.

KEBAIKAN AKTIVITI BERCERITA

Dapat menyuburkan daya imaginasi murid-murid. Usaha ini akan menjadikan murid-murid lebih imaginatif dan kreatif. Semasa guru menjalankan aktiviti bercerita, secara imaginasi murid-murid boleh memasuki alam cerita tersebut dan menggambarkan seolah-olah mereka terlibat dalam cerita itu. Contohnya, kanak-kanak boleh menjadi angkasawan, gergasi, makhluk halus, haiwan dan sebagainya.

Menyemai rasa empati dalam kalangan murid-murid. Dalam cerita sering berlaku peristiwa yang melibatkan emosi manusia seperti watak utama menemui kejayaan, gembira dan menderita. Keadaan ini amat sesuai untuk murid-murid dan dalam masa yang sama boleh mengubah suasana dengan membawa mereka untuk menghayati tema dan isi cerita sepenuhnya.

Menyuburkan akal dan kecerdasan otak. Semasa guru bercerita, murid-murid lazimnya akan menunjukkan rasa minat, hairan, geram dan perasaan ingin tahu. Murid-murid digalakkan bertanya atau menyoal, memberi komen atau pandangan terhadap peristiwa, sifat serta perilaku watak-watak dalam cerita tersebut. Aktiviti seperti ini membantu mengasah akal dan mempertingkatkan kecerdasan minda murid-murid.

Menggalakkan perkembangan bahasa. Ketika bercerita itulah mereka akan menambah perbendaharaan kata dan memperlihatkan pelbagai ragam gaya dan bentuk bahasa kepada murid-murid.

PRINSIP AKTIVITI BERCERITA

Plot cerita dan penyampaiannya perlu menarik. Jalan ceritanya tersusun dengan baik dan ada kesudahan. Semasa menyampaikan cerita tersebut, guru perlu menggunakan pelbagai gaya yang menarik seperti gaya isyarat, pergerakan, pertanyaan, menggunakan cakap ajuk, melakonkan peristiwa-peristiwa tertentu dan sebagainya.

Penglibatan murid-murid sepenuhnya semasa aktiviti ini berjalan juga penting. Guru harus bijak dan pandai mengaitkan jalan cerita dengan intelek, emosi dan kadang kala fizikal murid-murid semasa sesi bercerita. Semua aktiviti ini boleh diikuti dengan pelbagai gerak kerja lanjutan yang dirasakan sesuai.

Harus mempunyai tema yang sesuai. Ini bermakna, cerita itu tidak boleh mengabaikan objektif mendidik dan mengasuh. Ceritanya mesti mengandungi isi yang sesuai dengan murid-murid, terutama dari segi kematangan berbahasa, umur, latar belakang, minat, kecerdasan otak dan pengalaman mereka.

Menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap murid. Ini bermaksud bahasa perlu mengandungi perkataan atau rangkai kata yang tepat, sesuai dan berkesan. Pengucapan cerita itu harus dilakukan dengan jelas, ringkas dan tidak mengelirukan. Perkataan dan rangkai kata yang mengandungi beberapa pengertian harus juga dielakkan.

STANDARD KANDUNGAN

Mengujarkan bahasa yang indah dan menggunakan bahasa badan dengan kreatif semasa bercerita secara didik hibur.

Mengujarkan ayat dengan sebutan yang betul dan jelas tentang sesuatu perkara melalui penceritaan secara didik hibur.

Mengujarkan ayat dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas tentang sesuatu perkara serta menggunakan bahasa bahan dengan kreatif melalui penceritaan secara didik hibur.

PROSEDUR MENJALANKAN AKTIVITI BERCERITA

(A) Permulaan cerita

(a) Bahagian ini menumpukan kepada keupayaan murid yang mengambil bahagian untuk menarik minat rakan-rakan lain dan kekal hingga ke akhir cerita. Boleh dilaksanakan melalui penggunaan isyarat, mimik muka, gambar, penglibatan murid, media di samping bijak memainkan kata-kata, dan ini mampu menyediakan satu situasi bercerita yang sesuai. Permulaan cerita lebih menarik jika mereka berjaya membawa imaginasi murid-murid lain ke zaman berlakunya cerita dan peristiwa yang disampaikan itu. Dalam masa yang sama, guru berperanan membimbing murid supaya membaca dialog dengan gaya, nada dan intonasi yang betul

(b) Guru harus menunjukkan kecenderungan untuk membina perhubungan yang baik dengan murid-murid. Kemesraan guru dan murid perlu dibina terlebih dahulu sebelum aktiviti bercerita bermula. Keadaan ini boleh menarik perhatian murid di samping dapat menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti bercerita yang hendak disampaikan.

(B) Pembentukan Cerita

(a) Bahasa yang digunakan mestilah mudah dan sesuai dengan tahap murid-murid. Hal Ini penting agar maksud cerita dapat difahami sepenuhnya oleh murid-murid. Penggunaan cakap ajuk pada bahagian tertentu cerita mampu menambahkan kesan yang boleh menjadikan pendengar memberi perhatian lebih kepada cerita. Perkataan dan rangkai kata yang kabur perlu

(b) Kelancaran pertuturan amat penting untuk memberikan kesan penceritaan di samping membolehkan terhasilnya satu perkembangan cerita yang licin dan berkesan. Murid yang terlibat sebagai pelakon atau pendengar pula tidak menghadapi sebarang masalah untuk memahami cerita berkenaan.

(c)Kepelbagaian suara penting dan boleh dilihat dari segi tekanan tinggi-rendah, nada, intonasi, kelantangan, panjang-pendek, besar dan kecil dan sebagainya. Keadaan suara yang sedemikian hendaklah diwujudkan di tempat yang sesuai dengan peristiwa-peristiwa dalam cerita itu. Umpamanya situasi menyeramkan pada waktu tengah malam, suara pencerita tadi akan bertukar menjadi garau, kasar, seram dan ditambah dengan sedikit hilaian. Jika suara ini benar-benar berkesan, lazimnya murid-murid akan menutup telinga dan mata sebagai refleksi di luar kawalan mereka.

(d)Gerak-geri dan mimik muka juga dapat membantu guru atau murid yang sedang bercerita untuk menyampaikan maksud dan kandungan cerita dengan jelas dan bermakna. Situasi ini akan melahirkan satu suasana bercerita yang menarik dan menghiburkan.

(e) Penggunaan bahan rangsangan yang sesuai seperti penggunaan media boleh menarik minat murid-murid terhadap keseluruhan cerita berkenaan. Jika perlu gunakan pelbagai bahan rangsangan supaya mereka tidak cepat jemu dan bosan.

(f)Cerita haruslah mengikut urutan, di mana jalan cerita yang perlu didahulukan akan disampaikan di awal cerita dan begitulah sebaliknya. Ini perlu supaya hubungan antara satu cerita dengan cerita yang lain konsisten dan menyakinkan pendengar.

(g) Semasa menjalankan aktiviti bercerita seorang guru perlu peka kepada tema yang hendak disampaikan. Kefahaman terhadap tema membantu murid mengenalpasti plot cerita, watak-wataknya dan moral cerita dengan tepat dan berkesan.

(h) Penglibat murid perlu menyeluruh dan maksimum iaitu sama ada secara kognitif, psikomotor atau secara lisan dengan memberikan pandangan atau cadangan penambahbaikan kepada rakan-rakan yang mengambil bahagian dalam aktiviti bercerita ini.

(C) Penutup Cerita

a)Cerita yang disampaikan perlu ada kesudahannya. Dalam bahagian ini, semua masalah dan kerumitan watak dapat diselesai.

Perkara yang paling penting ialah kesudahan cerita itu dapat memenuhi objektif yang ingin dicapai guru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan