Jumaat, 10 September 2010

Menjelang Aidil Fitri




“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a)

Sekiranya dapat kita manfaatkan malam2 terakhir di bulan Ramadhan sudah pasti kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beruntung. Namun begitu, biasanya malam2 terakhir sebegini, terutamanya malam hari raya, kita sangat sibuk membuat persiapan terakhir untuk menyambut raya pada keesokan harinya. Pada malam itulah kita bertungkus lumus menyiapkan lauk pauk dan ketupat. Pada malam itulah juga kita berhempas pulas bagi memastikan rumah kita siap sedia untuk menerima kehadiran tetamu pada pagi raya. Bagi kaum lelaki mungkin mendapat sedikit kelebihan kerana aktiviti di dapur dan menghias rumah tidak banyak melibatkan mereka. Mereka masih berpeluang untuk ke masjid dan melakukan aktiviti takbir beramai-ramai ataupun menghadiri majlis-majlis tahlil dari rumah ke rumah.

Walau bagaimanapun, aidil fitri yang mendatang harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Jalinan persaudaraan sesama insan hendaklah dijalin dengan semangat dan ukhwah keislaman. Amalan kunjung-mengunjung hendaklah diteruskan. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Hulurkan tangan, berikan sedekah kepada kanak-kanak dan mereka yang kurang berkemampuan. Gembirakanlah hati-hati mereka dengan pemberian sedekah mengikut kemampuan kita. Bawalah anak-anak berjumpa saudara mara agar tidak terputus jalinan persaudaraan kelak. Jangan biarkan hubungan kekeluargaan terputus di tengah jalan disebabkan kesibukan kita mengejar kebendaan.

Didiklah anak-anak supaya mengamalkan perkara-perkara sunat di pagi Aidil Fitri. Selesai mandi sunat aidil fitri, mintalah mereka berhias diri dan bersiap sedia untuk menunaikan solat sunat berjamaah di masjid. Jangan lupa jamahlah sedikit makanan sebelum ke masjid. Pastikan anak-anak tahu adab-adab ketika berada di dalam masjid. Selesai solat sunat hari raya, jangan lupa bersalam-salaman dengan para jemaah bagi mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam.

Ziarahilah pusara ayah dan ibu serta saudara mara kita yang telah pergi dahulu. Sedekahkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan berdoalah moga-moga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Bersihkanlah pusara mereka dan siramilah dengan air mawar atau bunga-bungaan. Ajaklah anak-anak kita menziarahi pusara supaya amalan tersebut akan berterusan. Apabila kita telah tiada nanti, insyaallah mereka akan melakukan perkara-perkara yang seumpama itu jua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan