Waktu mula2 menduduki rumah baru pada penghujung tahun 2005, pokok yang mula-mula saya tanam ialah pokok bunga melor. Entah kenapa saya begitu tertarik dengan spesis flora tersebut. Mungkin kerana warnanya yang putih dan mungkin juga kerana wangiannya yang memikat jiwa. Saya tanam di depan rumah berhampiran garaj kereta.
Pada waktu pagi setiap kali saya melangkah kaki menuju ke kereta, pasti saya disambut dengan haruman bunga tersebut yang begitu memberangsangkan. Kadang-kadang saya kutip bunga tersebut dan bawa bersama-sama ke tempat kerja. Seingat saya, arwah emak dulu memang sukakan bunga tersebut. Beliau akan meletakkan bunga tersebut di dalam bekas yang berisi bedak sejuk. Harumnya berkekalan walaupun bunganya telah bertukar layu. Malang sekali, pokok bunga melor saya terpaksa dikorbankan kerana kawasan tersebut hendak dijadikan jalan raya. Mungkin saya terpaksa membeli pokok yang baru bagi menggantikan pokok kesayangan saya itu.
Sebagaimana yang kita tahu bunga melur hanya berwarna putih tidak seperti bunga-bunga lain yang senama tapi punya warna yang berbagai-bagai. Barangkali bunga tersebut dijadikan sedemikian untuk menjadi lambang bagi pernyataan hati yang bersih, ikhlas dan tulus.
Sepanjang riwayatnya dari kudup, sewaktu kembang mekar hinggalah menjadi bunga kering,bunga melur tetap wangi. Bunga melur berbau sangat harum terutama pada waktu malam dan mekar sepanjang tahun di halaman.
Bunga ini juga banyak khasiatnya. Bagi anak-anak kecil yang kerap demam, boleh kita ambil daun dan bunganya untuk menjaram. Ada juga yang mengamalkannya sewaktu sakit mata atau ketika mata menjadi merah. Kata orang, kita juga boleh meletakkan bunga melur yang diramas hancur pada bekas gigitan tebuan atau lebah, tujuannya bagi menghilangkan bisa dan bengkak. Air daun dan bunganya yang diramas dalam air juga digunakan untuk membasahkan kepala wanita-wanita mengandung yang sering mengadu sakit kepala.
Kudup melur cukup berkhidmat pada upacara perkahwinan apa jua bangsa ; menjadi bunga rampai, bunga manggar, menghias sirih junjung, melilit sanggul di kepala. Melur susun kelapa pecah lima kelopaknya sering mendapat tempat dalam rawatan tradisi orang Melayu dan bunga wajib dalam upacara agama Hindu. Adat bunga akan layu dan kering. Biar pun begitu melur tetap harum dan boleh juga di jadikan asas minuman teh melur yang lembut perisanya dan wangi aromanya. Semoga melur jadi petanda sebuah persahabatan yang luhur.
Dalam bersahabat, saya ingin menjadi seperti bunga melur.
Memutih, mewangi dan menyembuh.sumber : nyanyian angin
Saya ada satu pokok bunga melor putih. Bagaimana nak jaga dari daunnya di makan serangga?
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam