Isnin, 8 November 2010

Kemurungan



Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1999 menunjukkan, kemurungan adalah penyakit keempat utama di dunia yang boleh menyebabkan seseorang hilang keupayaan dan kesengsaraan.

Penyakit ini menjejaskan keupayaan mental dan fizikal serta memberi kesan besar terhadap kehidupan, kerjaya, hubungan sosial dan merendahkan kualiti hidup seseorang.

Dianggarkan 121 juta penduduk dunia mengalami masalah kemurungan dan dijangka menjadi penyakit kedua utama penyebab ketidakupayaan menjelang 2020.

Kajian Bebanan Penyakit dan Kecederaan Malaysia (2000) melaporkan kemurungan menjadi punca ketidakupayaan utama di kalangan wanita dan ada di tempat kedua bagi lelaki.

Malah, keadaan ekonomi boleh menjadi faktor risiko kemurungan kerana pakar perubatan mendapati jumlah pesakit yang datang untuk rawatan kemurungan meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap kali berlakunya kemelesetan ekonomi.

Dr Hussain berkata, pesakit dan ahli keluarga perlu ingat, kemurungan adalah gangguan mental yang tiada kaitan dengan gila. Oleh kerana gejalanya membabitkan perubahan emosi, ramai tidak menyedari mereka mengalami kemurungan.

“Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik mengalami kemurungan. Ini sebabnya pengamal perubatan am perlu memerhatikan jika pesakit turut menunjukkan gejala kemurungan dan bukan hanya fokus kepada kesakitan fizikal mereka.

“Aduan kesakitan fizikal menyebabkan banyak kes kemurungan disalah diagnos, pesakit tidak diberi rawatan sewajarnya dan akibatnya penyakit bertambah buruk,” katanya.

Dr Jessjit Singh memberi panduan mudah kepada pengamal perubatan am untuk mengenal pasti gejala kemurungan pada pesakit iaitu dengan bertanya tiga soalan iaitu:

- Adakah anda berasa sedih setiap hari, terutama dalam tempoh lebih dua minggu kebelakangan ini? Individu murung akan memberi reaksi dan berfikiran negatif. Jadi ia memudahkan doktor mengesan masalah mereka. Ramai keliru antara kesedihan biasa dengan kemurungan. Kesedihan biasa hilang dalam masa satu hingga dua hari manakala kesedihan kemurungan berlanjutan lebih dua minggu.

- Adakah anda masih suka melakukan aktiviti kegemaran? Individu murung hilang minat terhadap perkara diminatinya.

- Adakah anda pernah terfikir untuk membunuh diri? Individu murung tiada niat membunuh diri, tetapi mereka tidak dapat mengawal otak daripada memikirkannya, terutama apabila tidak dapat tidur. Malah ada pesakit berkata, lebih baik jika mereka tidak terjaga daripada tidur langsung. Kajian mendapati 10 hingga 20 peratus pesakit pernah cuba membunuh diri.

Pengesanan ini penting untuk membantu pesakit mendapat rawatan sewajarnya secepat mungkin, sekali gus mengelak kesilapan rawatan (ubat tahan sakit juga ada kesan sampingan tersendiri), mengurangkan kesengsaraan pesakit sekeluarga dan lebih penting, menyelamatkan mereka daripada cubaan membunuh diri.



Panduan Umum Kemurungan

Adakah anda mengalami:

1. Tertekan atau berasa murung

2. Hilang minat atau suka terhadap aktiviti

3. Tidak bermotivasi dan semangat

4. Sakit kepala, belakang, otot atau sendi

5. Letih dan tidak bertenaga

6. Pergerakan lembab atau resah

7. Susah tidur pada waktu malam

8. Berasa tidak berguna atau bersalah

9. Selera makan bertambah atau berkurang

10. Tidak dapat menumpukan perhatian

11. Rasa hendak bunuh diri

Jika anda menjawab ‘Ya’ kepada soalan 1 dan 2, serta ‘Ya’ untuk empat soalan lain, anda dinasihat mendapatkan penilaian perubatan pakar bagi menentukan sama ada anda mengalami kemurungan.

Sumber : Metro Ahad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan