Rabu, 17 November 2010

Selamat Hari Raya Aidil Adha (Eid Ul Adha)




Allahhu akbar...Allahu akbar....allahu Akbar walillahilham.

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Kepada muslimin dan muslimat yang sedang menunaikan haji, semoga mendapat haji mabrur hendaknya.

Sebagaimana kita maklum Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana hari tersebut merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Alah s.w.t.

Pada tahun ini saya sangat bersemangat hendak menyambut Aidil Adha dengan menunaikan sembahyang sunat aidil adha dan menziarahi pusara ayah bonda. Biasanya saya jarang-jarang berpeluang berbuat demikian memandangkan anak kecil tiada orang yang hendak menjaganya. Kali ini kami berazam hendak membawanya bersama-sama. Pada malam hari raya lagi kami sudah menyiapkan pakaian dan peralatan yang hendak dibawa ke masjid. (peralatan tersebut antaranya ialah sejadahlah kerana ditakuti tiada tempat di dalam masjid)

Malang sekali sebelum masuk tidur tiba-tiba ada sesuatu yang menggigit wajah saya dan tidak semena-mena bertukar menjadi bengkak. Walau hanya berasa kebas tetapi wajah saya semakin membesar. Kepala pun menjadi sakit dan berdenyut-denyut. Saya cuba memujuk hati sendiri dengan harapan bengkak tersebut akan beransur-ansur surut. Apabila bangun pada waktu pagi, keadaan masih tidak berubah, Kedua-dua bibir saya membengkak dan terasa sakit. Gusi juga membengkak dan sakit. Aduhai, bagaimana saya hendak bersembahyang berjemaah di masjid. Akhirnya saya mengambil keputusan memerap di rumah sahaja sementara menunggu bengkak mejadi surut.

Berbalik pula kepada cerita hari raya. Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.


sumber : wikipedia BM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan