Isnin, 23 Mei 2011

Pengaruh Laman Sosial


Sedar atau tidak sudah hampir separuh daripada tahun 2011 meninggalkan kita. Begitu cepat masa berlalu.Kesibukan harian sama ada dalam kerjaya maupun keluarga membuatkan saya makin mengasingkan diri dengan dunia realiti . Sesuatu yang paling membimbangkan saya ialah keasyikan terhadap dunia tanpa sempadan ini. Paling ketara ialah pengaruh laman sosial seperti FB yang meninggalkan impak yang besar terhadap penggunaan ruang dan masa saya dalam menghadapi dunia realiti. Interaksi secara maya ini bagaikan kuasa magnet yang semakin hari semakin kuat cengkamannya.

Laman sosial kini umpama nadi bagi sesetengah orang, Tidak akan sempurna hari seseorang tanpa melayari internet dan menggapai laman-laman sesawang seperti Twitter, Facebook, My Space, YM dan lain-lain lagi. Interaksi sosial begini sudah menular hingga ke gedung-gedung ilmu seperti pusat sumber dan pusat-pusat pengajian. Kalau kita rajin berkunjung ke pusat sumber awam, didapati sebahagian besar penggunanya sibuk melayari laman sosial. Maknanya kehidupan senahagian besar pelajar banyak dipengaruhi oleh laman-laman sosial tersebut.

Tidak hairan jika kanak-kanak sekolah rendah menggunakan identiti palsu semata-mata bagi membolehkan mereka mendaftar sebagai ahli di mana-mana laman sosial. Anak-anak remaja juga sanggup berjaga sepanjang malam kerana leka berchating dengan rakan-rakan di FB masing-masing. Keasyikan melayari laman sosial ini sudah menjadi stigma yang sukar dibendung. Pengguna juga tidak perlu lagi mengusung laptop ke sana kemari untuk melayari internet. Cukup sekadar memiliki telefon bimbit yang membekalkan kemudahan internet dan singgahlah di mana-mana premis yang menyediakan kemudahan wifi. Mereka sudah boleh berinteraksi secara santai dan percuma di sana.

Baik kanak-kanak. remaja maupun orang dewasa kini sudah tenggelam dalam dunia tanpa sempadan ini. Golongan dewasa juga menggunakan laman sesawang tersebut sebagai modus operandi dalam menyampaikan maklumat dan tentunya matlamat. Banyak agenda berjaya disampaikan menerusi ruang interaksi yang cukup pantas ini. Ada sahaja pihak yang dengan rela hati menjadi penyampai maklumat secara percuma. Buka sahaja mana-mana laman sosial, pasti ada info yang update dan up to date.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan