Jumaat, 3 April 2009

Kritikan Sastera

Ciri-ciri Kritikan Sastera

Dalam melaksanakan kerja-kerja kritikan, seseorang kritikawan atau pengkritik tidak terlepas daripada terikat dengan ciri-ciri tertentu yang perlu dilaksanakan, ianya bersesuaian atau selaras dengan kritikan sastera itu sebagai satu disiplin ilmu yang bersifat bersistematik, ciri-cirinya ialah:

i. Sanjungan
ii. Teguran
iii. Saranan
iv. Pendekatan
v. Penganalisaan
vi. Penilaian

i. Sanjungan

Hasil daripada pembacaan terhadap sesebuah karya kreatif, maka akan timbul reaksi atau tindakbalas pembaca terhadap karya itu sendiri. Ianya mungkin bersifat yang positif atau mungkin negatif, perasaan tidak puashati atau merasakan karya yang dibacanya mempunyai kelebihan atau menampakkan kelainan. Hasilnya pengkritik atau pembaca akan melahirkan sanjungan terhadap karya tersebut, sama ada dari aspek isi, teknik persembahan mahupun pengarang yang menulis karya tersebut.

ii. Teguran

Kebiasannya seseorang pengkritik juga akan menegur hasil daripada penelitian yang dibuat berdasarkan sesebuah karya yang dibacanya. Teguran yang diberikan mestilah bersifat membina bukannya bertujuan menghancur atau memperlekeh sesebuah karya sastera.

iii. Saranan

Ianya melibatkan aspek-aspek pembinaan yang lebih ke arah menghasilkan sesebuah karya yang lebih bermutu dan mantap. Yang melibatkan cadangan atau pandangan serta idea-idea berbentuk perubahan. Pengkritik yang jujur, baik biasanya mahu melihat perkembangan kesusasteraan yang lebih mantap selaras dengan matlamat itu biasanya pengkritik akan memberi saranan yang bertanggungjawab, bernas, jitu serta matang dalam memartabatkan dunia sastera.

iv. Pendekatan

Persediaan atau kaedah yang diguna pakai ia juga membawa maksud cara bagaimana mendekati atau menganalisa karya sastera. Kebiasaanya ia melibatkan ilmu-ilmu tertentu sesuai dengan kritikan sebagai satu disiplin ilmu, di antara pendekatan yang diguna pakai dalam ukutara sesebuah kritikan ialah Formalistik, sosiologi, moral Psikologi dan Linguistik.

v. Penganalisaan

Cerakinan yang dibuat terutamanya dalam aspek persolan yang diutarakan oleh sesebuah karya sastera. Pengkritik biasanya akan menggabungjalinkannya dengan aspek sosiobudaya. Di samping itu juga pengkritik mungkin akan membuat pemerincian tentang watak yang terlibat berhubung dengan pelbagai perkara seperti aspek psikologi, nasionalisme dan sebagainya.

vi. Penilaian

Justifikasi atau penghakiman yang dibuat terhadap sesbuah karya sastera setelah dilakukan pengamatan, pentafsiran, penganalisaan, pertimbangan yang wajar serta rasional berpandukan hujah, bukti serta pendapat. Kesinambungannya pula ialah membolehkan seseorang pengkritik meletakkan ukuran dalam
penentuan nilai bagi sesebuah karya sastera sama ada hebat, bermutu,besar sederhana mahupun kecil.


Fungsi Kritikan Sastera

Sebagai satu cabang disiplin ilmu yang bersistematik serta bersifat saintifik, kritikan juga mempunyai tujuan serta fungsi yang tertentu:

i. Proses Berkarya

a. Menentukan status sesebuah karya kreatif sama ada berkualiti atau tidak
b. Memudahkan pengarang melihat ciri-ciri karya kreatif yang bermutu, bagi membantu pengarang menghasilkan karya yang lebih baik
c. Membantu pengarang menepati kehendak pembaca / kelompok pembaca karya kreatif (Memberi keterangan kepada pengarang bagaimana menyesuaikan diri sendiri dengan pembaca)
d. Menepati kiteria-kiteria karya kreatif
e. Menolong pengarang mendidik orang ramai


ii. Penghayatan Karya

a. Memudahkan pembaca menikmati / menghayati sesebuah karya kreatif (kupasan / analisa)
b. Membantu pembaca memilih karya yang berkualiti (menolong membezakan karya yang baik dan yang tidak baik)
c. Membudayakan budaya membaca. (Memberi perangsang dan mendidik orang ramai supaya lebih giat membaca)
d. Memperkenalkan buku-buku baru kepada orang yang tidak sempat membacanya


iii. Dunia Kritikan

a. Memperkembang serta menyebarluaskan ilmu pengetahuan
b. Mempromosi / mempopularkan ilmu kritikan sebagai satu disiplin ilmu yang boleh membantu percambahan pengetahuan
c. Menyedarkan masyarakat tentang realiti sebenar kesusasteraan (Menolong menghapuskan sebarang prasangka yang buruk terhadap sastera)
d. Membantu menjadi jalan tengah di antara pembaca dengan penulis (Membaiki salah faham di antara pengarang dengan pembaca)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan