Kritikan sastera bertujuan untuk menceritakan sesuatu karya sastera, sama ada sajak, cerpen, novel atau drama, mentafsir serta menilainya. Menceritakan sesuatu karya itu perlu sebelum seseorang pengkritik dapat mentafsirnya dan selanjutnya membuat penilaian. Oleh yang demikian, kritikan bererti suatu pandangan, malah suatu pandangan hidup, kerana karya yang hendak ditafsir dan dinilainya itu adalah secebis kehidupan. Adakah kehidupan yang digambarkan dalam karya itu melambangkan atau mewakili kebenaran, seperti kata Keris Mas, atau kebenaran dan keindahan sekaligus, seperti kata Keats. Tidak kira berapa banyak teori kritikan yang telah dihasilkan di Barat, dari formalism ke Kritikan Baru, ke fenomelogi, ke semiotik, ke hermaniutik, ke dekonstruksi hingga ke feminisme, apa yang diperlukan oleh seseorang pengkritik itu ialah suatu pandangan hidup yang benar tentang manusia, masyarakat dan alam semesta. Kita menekankan pandangan hidup yang benar itu, kerana ada pandangan hidup yang batil sebagai lawannya.
Karya itu sendiri menggambar, melambangkan dan mewakili realiti kehidupan atau secebis realiti kehidupan pada masa itu. Memang keterikatannya kepada sejarah atau kepada keadaan khusus itu merupakan sebahagian daripada gambaran, kerana sebahagian lain milik fitrah manusia yang lebih universal, seperti kasih sayang, kejujuran, marah, benci, hasad dengki dan khianat.
Teori kritikan bersepadu ini mestilah mengambil kira semua aspek: sosiopolitik, psikologi, ideologi dan estetik. Dalam zaman ASAS ‘50 (Angkatan Sasterawan ’50), kritikan sastera Melayu yang masih muda pada waktu itu mengutamakan aspek sosiopolitik, kerana gerakan sastera pada waktu itu terlibat rapat dengan gerakan kebangsaan untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajah.
Wujud dua pegangan atau dua konsepsi tentang seni atau estetika. Pertama, bahawa seni wujud tersendiri, bebas dan tidak mempunyai fungsi sosial. Kedua, bahawa seni mencerminkan manusia dan masyarakat, tidak bebas dan mempunyai fungsi sosial. Pandangan pertama membuahkan kritikan formalistik di mana kajian dibuat mengenai aspek-aspek bentuk saja. Pandangan yang kedua menimbulkan kritikan yang boleh dinamakan kritikan sosial. Bentuk kritikan pertamalah yang banyak terdapat sekarang, manakala bentuk kedua sedikit sekali.
(SUMBER : KASSIM AHMAD:1992)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan