Rabu, 21 April 2010

Jalan-jalan di Cameron Highlands





Bagi yang belum berpeluang ke Cameron Highlands, atau sudah lama tidak menjengah ke sana, tempat ini merupakan destinasi pelancongan yang mampu menjanjikan ketenangan setelah berpenat lelah bekerja ataupun ingin bercuti bersama-sama keluarga. Walaupun cuacanya tidak sedingin 10 tahun lalu,namun banyak lokasi menarik yang boleh dikunjungi.

Terdapat dua laluan utama ke sana jika kita memilih untuk menggunakan lebuh raya PLUS iaitu menerusi susur keluar Simpang Pulai ataupun susur keluar Tapah. Namun laluan Simpang Pulai menjadi pilihan ramai kerana perjalanannya lebih cepat dan mudah dilalui. Destinasi pertama yang akan kita temui ialah Pekan Brincang sebelum kita tiba di Tanah Rata yang menjadi pusat pentadbiran Cameron Highlands. Jika kita meneruskan perjalanan kita akan singgah pula di pekan Ringlet.

Ladang teh dan kebun-kebun sayur yang menghijau dengan saujana mata memandang mampu menggamit perhatian pengunjung untuk terus leka sepanjang perjalanan ke sana. Pengunjung juga boleh menikmati minuman teh segar yang disediakan di lokasi-lokasi tertentu dengan harga yang berpatutan. sambil menikmati panorama indah ciptaan Tuhan. Jangan lupa membeli teh sebagai buah tangan untuk dibawa pulang

Cameron Highlands juga terkenal dengan tanaman lain seperti strawberry, kaktus, sayur-sayuran dan jagung madu yang boleh dimakan mentah. Jangan lupa menikmati cendawan goreng dan strawberry coklat yang banyak di jual di kawasan Brincang. Banyak cenderamata seperti pakaian, kusyen, rantai kunci, payung dan lain-lain lagi yang bertemakan strawberry dijual di merata-rata gerai di sekitar Tanah Rata dan Brincang.

Jangan lupa melawat tempat-tempat menarik seperti ladang strawberry, taman ros,taman kaktus dan homestay yang turut menjadi tarikan pelancong. Makanan dan tempat tinggal juga tidak menjadi masalah asalkan kita pandai memilih.






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan