Khamis, 29 April 2010

Kawasan Rekreasi Semakin Berkurangan


Arus pembangunan telah menyebabkan kawasan hijau semakin pupus. Hutan-hutan batu yang naik bagai cendawan tumbuh menjadikan tempat-tempat rekreasi tidak lagi menjadi keutamaan. Anak-anak terpaksa menghabiskan hujung minggu di pasar-pasaraya yang menyediakan sedikit ruang untuk beriadah. (itu pun kalau boleh dipanggil riadah) Dalam masa yang sama, ibu bapa menghabiskan masa di situ untuk membeli-belah barangan keperluan seharian.
Bagi keluarga yang ada keupayaan bolehlah membawa anak-anak ke tempat-tempat rekreasi seperti air terjun dan pantai untuk mandi -manda tetapi jarak perjalanannya yang jauh begitu memenatkan. Pulau Pinang sendiri ketandusan kawasan rekreasi seperti hutan lipur dan air terjun. Kalau adapun hanyalah pantai-pantai di sekitar Batu Ferringhi dan Teluk Bahang yang menjadi tumpuan pelawat pada hujung minggu. Di kawasan Seberang Perai sendiri sangat kurang tempat rekreasi kecuali di Cherok Tokkun dan Bukit Panchor. Padang-padang permainan yang disediakan di kawasan-kawasan perumahan juga tidak diselenggarakan dengan baik dan biasanya hanya digunakan oleh anak-anak penghuni taman tersebut.
Kerajaan haruslah prihatin tentang kebajikan rakyat yang memerlukan kawasan untuk beriadah setelah berpenat lelah bekerja seharian. Kawasan-kawasan riadah yang dahulunya menjadi tumpuan hendaklah dibangunkan serta dinaik taraf agar kebajikan rakyat terbela. Antara tempat rekreasi yang dahulunya menjadi tumpuan ialah sekitar Robina Park di Butterworth dan Taman Rekreasi Ampang Jajar. Kawasan itu masih wujud tetapi sudah hilang 'seri'nya apatah lagi tidak diselenggarakan dengan sewajarnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan