Kesusasteraan merupakan karya ciptaan yang menyatakan pengalaman dan perasaan manusia. Di dalamnya terkandung gambaran nilai hidup masyarakat. Hasil kesusasteraan itu juga merupakan pancaran pemikiran masyarakat. Karya-karya yang diketengahkan mengandungi unsur-unsur moral, pendidikan dan nilai-nilai hormat menghormati di samping taat setia, kejujuran, kesederhanaan dan berbagai-bagai lagi. Walaupun hasil kesusasteran itu sifatnya sebagai menghibur, tetapi di dalamnya tersirat ajaran moral yang disampaikan secara tidak langsung atau secara kiasan.
Memilih pantun sebagai objek pengamatan, jelas terpancar nilai perhubungan yang erat antara dunia pantun dengan masyarakat Melayu. Pantun sebagai puisi tradisional mempunyai keistimewaan tersendiri yang dapat mempertahankan popularitinya sepanjang zaman. Keakraban pantun dengan masyarakat Melayu juga turut dipersetujui oleh Francois-Rene Daillie (1990:6). Menurut beliau, masyarakat Melayu mempunyai hubungan yang akrab dengan alam sekeliling. Beliau menegaskan bahawa masyarakat Melayu memiliki ikatan yang harmoni dengan alam. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan tulisan beliau iaitu:
This brief poem is an epitome of life and a universe in a grain of sand.
It carries within itself all the element of the Malay man’s life: his land,
his house, his garden, his paddy field, the river, the sea or the forest:..
Sebagaimana kita sedia maklum, pantun sebagai warisan tradisi lisan disampaikan dan dinyatakan dengan cara yang indah dan menarik, baik dari segi pemilihan kata maupun penyampaiannya dengan irama yang bersesuaian. Hampir setiap sudut kehidupan masyarakat Melayu menggunakan pantun baik dalam nyanyian, upacara adat malahan dalam acara-acara kesenian. Segala maksud gerak dan pengucapan disampaikan melalui kata-kata yang disusun indah terhasil daripada kebijaksanaan pujangga masa lalu yang terasuh oleh alam semesta dan segala cabarannya. Jelas bahawa guru bagi masyarakat tradisi Melayu ialah alam dan cara mempelajarinya pula bukan sembarangan dan hal ini dapat dibuktikan menerusi pantun berikut:
Berburu ke padang datar,
dapat rusa berbelang kaki;
berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi.
Jelas bahawa orang Melayu menggunakan unsur alam bagi menyatakan sesuatu perkara secara tersirat dan beradab walaupun maksudnya adalah tajam. Cara penyampaian maksud pantun pula ternyata menggunakan kias dan ibarat. Hal ini sejajar dengan pendapat Mohd Taib Osman, (1984:9) iaitu pantun adalah corak komunikasi seni. Ukuran seni bagi komunikasi dengan pantun ialah: maksudnya tepat kena pada situasi atau tujuan kita berpantun itu, dan cara menyampaikan maksud itu berkias dengan indahnya. Menurut beliau lagi, pantun merupakan cara berkomunikasi tidak berterus terang tetapi berkias dan dikatakan sebagai beating about the bush phenomenom.
Menurut Za’ba, (1965:224) pantun yang baik harus mempunyai ciri-ciri berikut:
a) bahagian pembayang itu hendaklah cantik iaitu menggambarkan sesuatu keindahan alam sekeliling kita, warna yang cantik, bau yang wangi, bunyi yang sedap, daun-daun, bunga, awan dan sebagainya.
b) maksud yang sebenarnya dikatakan oleh pantun itu hendaklah cantik juga serta ringkas tetapi mengandungi tujuan yang luas atau susunan kata-kata yang menarik hati. Jika dibahasakan dengan kias ibarat terlebih baik lagi.
c) maksud sebaik-baiknya hendaklah dibayangkan oleh bahagian pembayangnya itu dengan isyarat persamaan bunyi atau dengan gambaran kias ibarat sahaja.
Sesebuah pantun yang disampaikan secara kias dan ibarat mencerminkan
kehalusan dan ketajaman pemikiran penciptanya malahan dapat kita kesan nilai estetikanya. Dalam hal ini tidak hairanlah jika mereka menggunakan metafora, imej, lambang dan perumpamaan bagi menentukan keberkesanan penyampaian pantun. Menurut Muhammad Haji Salleh (1999:47), ibarat bermaksud contoh teladan dan misalan manakala kias pula ialah analogi, teknik penyampaian makna melalui pengamatan situasi dua hal yang berlainan. Unsur-unsur kias dan ibarat ini bukan sahaja dikesan dalam pantun tetapi turut ditemui dalam syair, gurindam, seloka dan lain-lain lagi.
Mengapakah orang Melayu tidak suka berterus terang? Menurut Fatimah Busu, (1922:22) kesopanan yang terbit daripada rasa malu dan segan dalam kalangan masyarakat Melayu telah menimbulkan satu cara hidup yang tidak suka berterus terang. Selalu ada pengertian-pengertian yang lain di sebalik rangkaikata-rangkaikata yang dituturkan. Dalam membuat teguran ini maka lahirlah pelbagai bentuk bahasa kiasan bagi menggambarkan sikap rendah diri dan sifat kesopanan. Sindir menyindir juga memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar mesej yang cuba disampaikan itu berkesan dan indah. Katharine Sim (1957:42) dalam kajiannya mendapati unsur-unsur sindiran ini sememangnya disukai oleh masyarakat Melayu. Menurut beliau,
satirical verse is greatly appreciated and enjoyed by Malays.
They love making up such pantun, of which the acidness
range from the rather rueful sour-grapes class of emotion
to a far-reaching, bitting cynicism.
Hal ini dapat dibuktikan menerusi pantun berikut,
Pondok robek makan api,
anak Cina main teropong;
katak bertingkir besar hati,
dapat dunia bawah tempurung.
Dalam pantun tersebut, karikatur katak memberi satu kiasan terhadap sifat manusia yang tiada pegangan atau pendirian. Manusia sebegini tidak akan berusaha untuk memajukan diri sendiri tetapi hanya menerima takdir yang telah ditetapkan kepadanya dengan rasa gembira. Sudah pasti kehidupan bawah tempurungnya itu tidak akan membawanya kemana-mana kerana sifat ingin mengetahui dan ingin maju tidak ada padanya. Dalam kiasan itu ada pelajaran iaitu pendengar mengambil sesuatu episod yang diceritakan sebagai situasi yang dapat diidentifikasikan dan dengan itu menyatu diri dengan situasi itu. Ibarat dan kias menjadi jambatan untuk makna atau maksud sosial dan moral sastera. Lihat pula pantun berikut,
Ayam dikepuk dipanggil pulang,
kain tercarik tersangkut duri;
usah ditepuk air di dulang,
kelak terpercik muka sendiri.
Pantun tersebut membawa peringatan yang amat berguna kepada kita supaya tidak memburuk-burukkan saudara atau orang yang rapat dengan kita. Umpama menepuk air di dalam dulang, perbuatan mengumpat keji saudara mara atau sahabat handai akan mengundang keburukan kepada diri sendiri. Segala kekurangan yang dimiliki oleh saudara mara atau sahabat handai hendaklah disembunyikan tanpa pengetahuan orang luar.
Melalui perbandingan secara berkias itu, gambaran yang hendak dilukiskan akan bertambah terang dan maksud yang hendak disampaikan itu lebih mudah difahami. Penggunaan teknik kiasan ini sengaja dipilih oleh penyair demi mencabar penghayatan minda pendengar. Sebahagian sahaja kenyataan yang dipersembahkan manakala maksud sepenuhnya dipenuhi oleh pentafsir sendiri menerusi pengalaman dan kebijaksanaan. Penggunaan kias ibarat ini sudah pasti menjadi perhiasan bagi mencantikkan bahasa kerana bahasa kiasan banyak menggambarkan keindahan alam dan pemilihan lambang atau simbol itu pula begitu cantik. Apa yang lebih penting ialah penggunaan kias ibarat berperanan menjadi pelindung sesuatu perkara yang tidak ingin dinyatakan secara terang-terangan. Dengan adanya bahasa kiasan, perasaan malu atau takut kerana tidak manis didengar orang dapatlah disembunyikan. Pantun berikut dapat dijadikan contoh kiasan yang baik,
Kain baldu kain mengkasar,
halusnya tidak dapat ditenun;
sungai madu laut bersakar,
hausnya tidak dapat diminum.
Pantun ini membawa maksud cinta atau perkahwinan yang menemui kegagalan akan meninggalkan kesan yang amat berat kepada jiwa dan kehidupan orang yang bercinta. Kekecewaan menjadikan seseorang itu tidak berdaya lagi menghadapi hidup. Dapat kita lihat betapa halusnya kias dan ibarat yang dipilih oleh Sang Penyair sehingga mampu menjadi jambatan untuk pelajaran atau untuk maksud moral sastera.
Nyata sekali bahawa teknik kias ibarat memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar mendatangkan kesan yang mendalam. Maksud tersirat terkandung dalam pengucapan yang teratur dan penyusunannya pula penuh dengan kesopanan. Wajarlah kita bersetuju bahawa sebahagian daripada tugas penting pantun adalah untuk mengajar, menyediakan pelajaran kepada pendengar melalui kias dan ibarat dan tidak hairanlah jika bentuk ini amat digemari dan dapat dilihat sebagai teknik sastera dan landasan budi bahasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan