Isu mengenai hak wanita diperdebatkan secara meluas di seluruh dunia lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini apabila kesaksamaan hak kaum hawa diangkat sama pentingnya dengan hak asasi manusia. Namun, pada masa sama masih terdapat halangan dan kelemahan apabila menyentuh bab status, kedudukan serta hak seorang wanita.
Baru-baru ini saya ada menerima e-mel daripada seorang ahli keluarga yang mengirimkan beberapa keping foto mengenai iklan motosikal berkuasa tinggi. Kelihatan beberapa orang wanita yang berpakaian seksi sedang mencuci motosikal tersebut sambil mempamerkan aksi-aksi yang menghairahkan. Kejadian ini berlaku di negara kita sendiri. Apakah motif pihak penganjur menggunakan wanita seksi dalam promosi tersebut? Sudah pasti sebagai daya tarikan kepada kaum lelaki yang fitrahnya sememang begitu.
Jadi, kita harus bersetuju bahawa kaum wanita memang menjadi bahan eksploitasi terutamanya dalam melariskan jualan. Apa jua produk yang diiklankan menerusi media massa pastinya menjadikan kaum wanita sebagai paparan. Mengapa hal ini terjadi? Persoalan ini boleh dijawab oleh kaum wanita sendiri. Pada saya, wanita itu sendiri yang merelakan diri mereka dieksploitasi oleh kaum lelaki.
Golongan ini berpendapat anugerah kecantikan yang diberikan Tuhan itu perlu dikongsi dengan orang lain. Jadi, tidak menjadi masalah jikalau susuk tubuh mereka yang mengiurkan itu menjadi tontonan ramai. Secara tidak langsung, mereka dapat meraih populariti dengan cepat. Tambahan pula, setiap iklan yang dihasilkan mampu mendatangkan pulangan yang lumayan kepada mereka.
Dalam dunia hiburan umpamanya, kebanyakan artis dan pelakon memulakan karier mereka menerusi bidang peragaan dan pengiklanan. Bidang ini dijadikan batu loncatan untuk mereka maju setapak dan bertapak dalam dunia yang penuh glamour itu. Persoalannya, sampai bilakah kaum wanita akan dihormati jikalau mereka terus-terusan membiarkan diri dieksploitasi sedemikian rupa. Saya pasti isu ini akan berlarutan tanpa ada nokhtahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan