Saidina Ali pernah berkata, “ketahuilah bahawa sabar, jika dipandang dalam permasalahan seseorang adalah ibarat kepala dari sesuatu tubuh. Jika kepalanya hilang, maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rosak.” Dalam hal ini, banyak orang menyangka bahawa sabar bererti merendahkan diri dan penyerahan kepada keadaan, membiarkan diri hanyut dalam keadaan itu, atau menghentikan usaha tanpa ikhtiar mencari jalan keluar tanpa memperbaiki dan menguatkan amal perbuatan . Mereka beranggapan bahawa kita perlu redha terhadap apa yang terjadi biar bagaimanapun bentuk dan caranya.
Dari segi istilahnya, sabar membawa maksud betah menahan penderitaan tidak kira penderitaan itu akibat daripada kesakitan, kesusahan atau yang seumpamanya. Sabar juga membawa maksud menahan diri dan membawa kepada yang dituntut oleh syara’. Kesimpulannya, sabar ialah suatu kekuatan daya yang mendorong jiwa untuk menunaikan kewajipan. Di dalam Al Quran, Allah telah menyebutkan tidak kurang lapan puluh kali frasa yang berkaitan dengan sifat sabar dalam bermacam-macam bentuk untuk menunjukkan betapa tinggi nilai dan keutamaannya.
Imam Ghazali membahagikan sabar kepada lima bahagian iaitu;
a) sabar dalam beribadah
b) sabar ketika ditimpa malapetaka
c) sabar terhadap kehidupan dunia
d) sabar terhadap maksiat
e) sabar dalam perjuangan
Orang yang sabar seharusnya menghadapi musibah dengan cara yang baik dan berikhtiar mencari jalan keluar dengan cara yang baik juga. Menurut Ibn Mas’ud, “Sabar memiliki dua sisi, sisi yang satu adalah sabar, sisi yang lain adalah bersyukur kepada Allah.” Kita harus percaya bahawa setiap kali berlaku sesuatu perkara yang kurang baik, pastinya ada hikmah yang terkandung di sebaliknya. Sekiranya ada orang yang mengambil kesempatan terhadap kita, sudah pasti Allah akan memberikan ganjaran yang lumayan kepada kita. Mungkin suasana dan ketikanya sahaja yang berbeza. Bak kata pepatah, Allah SWT works in mysterious ways. Jadi kita perlu yakin dengan ketentuan ini kerana ada hikmah yang kadang-kadang tidak kita ketahui.
Secara positifnya, sifat sabar boleh membawa kepada kebaikan berikut;
a)kita akan bersyukur menerima musibah yang melanda
b)kita menginsafi kejadian yang menimpa
c)kita boleh menerima sesuatu yang berlaku dengan tenang dan tidak terburu-buru
d)kita menyedari bahawa pasti ada hikmah yang terkandung di dalamnya
e)kita lebih dekat dengan Allah SWT
f)kesusahan itu menjadikan kita lebih berhati-hati dan tidak leka
g)sabar adalah kunci kejayaan.
Kesimpulannya, dengan sabar kita boleh merobohkan perasaan negatif dan saluti hati dengan ketenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan