Rabu, 1 April 2009

POLA KESELARASAN HURUF VOKAL

Aspek keselarasan vokal agak luas mempengaruhi Sistem Ejaan Baru. Dalam sistem baharu ini, pemakaian huruf vokal telah diselaraskan dan dikenali sebagai Sistem Keselarasan Vokal yang mempunyai 18 pola.



Penyelarasan vokal dalam Sistem Ejaan Baharu ini selalu disalahfahamkan. Penyelaraaan vokal hanya berlaku pada dua suku kata akhir, kata akhir dan kata akar sahaja, itu pun sekiranya suku kata akhir itu tertutup.


Kata akar ialah bahagian perkataan yang tertinggal apabila semua imbuhan telah diasingkan. Contohnya perkataan ‘mempersoalkan’ akarnya ialah ‘soal’.


Suku kata ialah pecahan perkataan mengikut adanya bunyi vokal. Contohnya :

‘pagi’ – 2 suku kata; ‘pa’ dan ‘gi’.
‘perigi’ – 3 suku kata; ‘pe’, ‘ri’ dan ‘gi’
‘keluarga’ – 4 suku kata; ‘ke’, ‘lu’, ‘ar’ dan ‘ga’
‘cenderawasih’ – 5 lima suku kata; ‘cen’, ‘de’, ‘ra’, ‘wa’ dan ‘sih’
‘lap’, ‘pun’ – 1 suku kata.


Jika perkataan akar itu terdiri daripada tiga suku kata atau lebih, maka penyelarasan vokal hanya berlaku dalam dua suku kata akhir sahaja, sekiranya perkataan itu adalah suku kata akhir tertutup. Suku kata tertutup ialah suku kata yang berakhir dengan huruf konsonan seperti ‘dak’, ‘kang’, ‘ih’, ‘ut’ dan lain-lain.

Penyelarasan vokal berlaku jika vokal dalam suku kata sebelum akhir itu (iaitu dalam kata akar) terdiri daripada i, a, u dan e taling. Maka hanya vokal i dan u yang boleh berlaku dalam suku kata akhir tertutup. Contoh :

bilek  bilik
pikol  pikul
kecimpong  kecimpung
basoh  basuh
serundeng  serunding
kedekot  kedekut


Sekiranya suku kata sebelum akhir mempunyai vokal e atau o, maka suku kata akhir tertutupnya juga mempunyai vokal yang sama. Contoh:

e – e : belek, tempeleng
e – o : selok, belok
o – e : korek, celoreng
o – o : korok, tembolok

Ada dua hal penting mengenai penyelarasan vokal ini:
1) Pemakaian vokal di tempat lain tidak berubah. Contoh : boleh, orang, kurang, terompah dan goreng
2) Kata pinjaman tidak menurut sistem ini. Contoh : kabaret, jaket, atom, kontraktor dan setem.

1 ulasan: