Draf Teks Ucapan
Pengarah Institut Perguruan Persekutuan
Pulau Pinang
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Bersyukur kita kepada Tuhan kerana pada hari yang berbahagia dan penuh bersejarah ini, kita dapat bersama-sama meraikan majlis konvokesyen dan penyampaian diploma Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang kali yang ke 36 pada tahun ini. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan dan puan-puan ke majlis yang meriah dan penuh tradisi yang saban tahun kita raikan ini. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan bakal meninggalkan kenangan yang manis untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing.
Tidak lupa juga sekalung penghargaan dan terima kasih saya tujukan kepada seluruh warga Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis yang besar seumpama ini. Sesungguhnya majlis seumpama ini dianjurkan khusus untuk memperingati, mengiktiraf dan menghargai kejayaan para pelatih yang pernah bernaung dan berpayung di bawah bumbung Institut ini. Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab melahirkan modal insan yang bermutu tinggi, kami telah berusaha untuk memastikan para lulusan yang dilahirkan berkualiti dan mempunyai nilai tambah seperti kemampuan berkomunikasi, kompetitif atau berdaya saing, berpengetahuan global, kreatif, mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi, berketerampilan, idealistik dan dinamik.
Lantaran itu, latihan pedagogi yang diterima oleh guru pelatih serta sesi praktikum dengan guru pembimbing di sekolah telah dimantapkan kerana selepas pentauliahan ini, guru-guru akan bersendirian dengan murid mereka dalam kelas masing-masing. Sebagai guru pelatih yang dilatih menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia, seharusnya anda semua dapat memanfaatkan segala pengetahuan dan kemahiran pedagogi yang diperoleh bagi menjana satu pembaharuan dan perubahan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan kurikulum sekolah. Oleh yang demikian , seorang guru mesti berkemahiran mengajar sambil menerapkan etika, nilai dan moral dari semasa ke semasa dalam menangani masalah pengajaran dan pembelajaran masa kini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sesungguhnya, profesion perguruan yang amat murni ini tidak pernah gagal menyumbang khidmat dan baktinya. Sebagai ahli kepada keluarga besar warga pendidik, setiap daripada kita yang bergelar guru pada hari ini perlu bermuhasabah diri untuk menilai apakah tahap komitmen kita dalam melaksanakan tanggungjawab. Perlu juga ditanya sejauh manakah iltizam kita dalam menjunjung imej dan kedudukan profesion ini, dan seterusnya adakah sumbangan kita memadai untuk menjadi sebahagian daripada sejarah yang sedang dan akan dicipta oleh profesion keguruan pada era ini. Hal ini menuntut anjakan paradigma warga pendidik dalam bidang penerokaan ilmu dalam usaha mengarusperdanakan dunia pendidikan.
Perkembangan dalam dunia globalisasi mutakhir ini, secara tidak langsung memperlihatkan betapa cepatnya perubahan setiap detik masa iaitu masa sekarang dan seterusnya masa akan datang. Kecekapan dan keberkesanan penggunaan pendekatan yang inovatif perlu dikaitkan dengan kesedaran kos, masa, tenaga pengajar dan penggunanya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebagai warga pendidik, kita harus sedar bahawa agenda untuk membangunkan negara menjadi mercu tanda yang semestinya kita julang setiap masa dan ketika. Peredaran masa membawa bersama-sama pelbagai tuntutan dan cabaran baru yang perlu sentiasa dipastikan kesediaannya memenuhi tuntutan zaman dan mendepani cabaran masa depan. Sesungguhnya, kerajaan dan seluruh anggota masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada kita untuk memastikan anak-anak bangsa didik sehabis baik untuk menyediakan generasi masa depan yang akan memimpin negara menuju kegemilangan.
Akhir kata, saya menyeru para lulusan sekalian untuk bersama-sama menghadapi cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab di sekolah. Tahniah sekali lagi saya ucapkan di atas kecemerlangan yang telah anda pamerkan sewaktu berada di Institut yang penuh nostalgia ini. Selamat bertugas dengan penuh komited dan selamat maju jaya walau di mana pun anda berada.
Sekian, terima kasih.
Rijeng Jahet
Pengarah
Institut Perguruan Persekutuan
Pulau Pinang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan