Jumaat, 20 Mac 2009

Senario Politik Negara

Bertahun-tahun mengikuti perkembangan politik tanah air sedikit sebanyak memaksa diri untuk memperkatakan sesuatu. Umum sudah mengetahui bahawa politik itu kuasa dan orang politik sendiri mempunyai kepercayaan bahawa "power is glory". Cogan kata 'matlamat menghalalkan cara' merupakan ideologi yang dianuti secara tidak langsung. Bertahun-tahun lamanya juga menjadi kaki dan mata bagi pihak yang memburu 'power' dan 'glory' itu. Hasilnya umpama mengejar pelangi senja. Diri umpama batu loncatan, diperkuda dan diperguna sesuka hati.

Makin lama makin terasa akan kebejatan politik itu. Kerakusan manusia yang berlumba-lumba untuk menjadi orang yang berkuasa dan menguasai segala kian menyerlah. Politik di tangan orang korperat juga dilihat telah mencetuskan banyak fenomena yang tidak diduga. Wang dilihat sudah mendominasi segalanya. Hal ini sangat berbeza ketika politik di tangan golongan cendekia yang matlamatnya untuk pembangunan dan kesejahteraan ummah. Tidak ada usaha untuk membolot kekayaan negara bagi pihak kroni dan proksi masing-masing.

Kini, politik kian dicemari dengan pelbagai isu, skandal dan kemelut yang menakutkan. Krisis perebutan kuasa dilihat sudah berada pada tahap yang sangat kritikal. saluran media menjadi medan pihak-pihak tertentu untuk melancarkan 'perang' terhadap pihak lawan. Fakta dan auta sudah tidak dapat dikenal pasti lagi. Sesiapa yang mudah digula-gulakan sudah pasti menjadi mangsa terhadap kebejatan politik ini. Tiada lagi yang 'bersih'apatah lagi yang 'cekap' dan 'beramanah'. Semua itu hanyalah fatamorgana yang tidak ada akhirannya. Berdoalah semoga Allah masih sayangkan kita dan memberi ruang dan peluang untuk menghirup udara segar dalam Malaysia yang tercinta ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan