Khamis, 12 Mac 2009

Sikap Pengguna Jalan Raya di Malaysia

Isu kebiadapan pengguna jalan raya di Malaysia bukanlah perkara baru yang diperkatakan. Cogankata 'pandu cermat jiwa selamat', 'ingatlah orang yang tersayang', 'berhati-hati di jalanraya' dan pelbagai lagi hanya manis di bibir sahaja. Ironinya, pengguna jalan raya di Malaysia sudah terdidik dengan sikap dan sifat mementingkan diri sendiri. Pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa jelas tidak mendatangkan kesan terhadap pengguna jalan raya.

Sewaktu saya pulang dari tempat kerja menuju ke rumah semalam, telah berlaku kemalangan kecil. Sebuah kereta Iswara Aeroback dengan nombor pendaftaran PEF 4723 telah melanggar kereta saya dari belakang sewaktu menghampiri persimpangan lampu isyarat di Jalan Bukit Minyak menghala ke Alma. Kebetulan waktu itu jalan memang sesak. Jadi tidak dapatlah saya memberhentikan kereta atau turun dari kereta untuk melihat kerosakan. Saya meneruskan perjalanan dengan harapan kereta tersebut akan mengekori saya untuk menyelesaikan hal tersebut.

Malangnya, apa yang diharapkan tidak berlaku. Pemandu kereta tersebut memberi isyarat memotong ke kiri lalu memecut lari. Apa yang boleh saya lakukan ialah membuat laporan di Balai Polis Trafik Bukit Mertajam. Hal ini tidak mudah dilakukan kerana saya bukanlah suka berurusan dengan pejabat kerajaan. Dua kali berulang alik ke balai polis belum lagi berjaya menyelesaikan masalah. Pihak polis juga sangat sibuk menguruskan kes-kes yang lebih kritikal berbanding dengan kes saya yang sangat kecil ini. Saya terpaksa ke sana lagi untuk mendapatkan laporan siasatan yang lengkap.

Kalaulah pemandu tersebut lebih berhati-hati sudah pasti tidak menyusahkan semua orang. Kalau dia pemandu yang beradap, sudah pasti dia memohon maaf dari saya sebaik sahaja kemalangan itu berlaku. Saya juga tidak perlu membuang masa berjam-jam di balai polis. Pihak polis juga tidak perlu menceritakan betapa teruknya tugas mereka yang menguruskan hal-hal trafik yang tidak pernah ada surutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan